SELAMAT BERSARA

SELAMAT BERSARA
Selamat bersara kepada Puan Hajjah Fatimah binti Abas pada 12 Februari 2010. Jasamu kami kenang. Ikhlas daripada Warga SK Saint Anthony

AKTIVITI MINGGU INI

Khamis, Mei 28, 2009

SELAMAT BERCUTI


Maka bermulalah cuti sekolah pertengahan semester selama 16 hari iaitu bermula 30 Mei hingga 14 Jun 2009. Bagi murid-murid sekolah sudah pastinya ini merupakan saat yanng dinanti-nanti oleh mereka. Apatah lagi setelah berpenat lelah belajar bagi tempoh hampir lima bulan dan baru sahaja menduduki peperiksaan Penilaian Kendalian Sekolah Rendah 1 (PKSR 1) sebelum cuti ini.

Bagi sesetengah sekolah, pentadbirnya telah mengatur kelas tambahan sebagai memenuhi cuti yang agak pajang juga khsususnya untuk murid-murid tahun enam.

SK Saint Anthony Cawangan Langkap tidak ketinggalan dalam perkara tersebut. Jadual kelas tambahan telah disusun. Malah sebelum cuti ini, surat makluman dan jadual kelas tambahan masa cuti telahpun diedarkan kepada murid-murid tahun enam untuk diberikan kepada ibu bapa masing-masing.

Berikut adalah Jadual Kelas Tambahan Masa Cuti bagi SK Saint Anthony Cawangan Langkap :

1. 1.6.2009 / Isnin - Sains (Guru : En. Mohd. Nor Syahrir bin Abdullah)
2. 2.6.2009 / Selasa - Bahasa Inggeris (Guru : Pn. Zurina binti Kamaruddin)
3. 3.6.2009 /Rabu - Bahasa Melayu 1 dan 2 (Guru : En. Rostam bin Malek)
4. 4.6.2009 / Khamis - Matematik (Guru : Tuan Haji Jaafar bin Kassim)

Kelas tambahan masa cuti ini akan diteruskan ke minggu kedua cuti sekiranya murid-murid bersedia meneruskannya.

Pada minggu kedua cuti pula, seramai 5 orang murid tahun enam sekolah ini akan mengikuti kursus motivasi yang dianjurkan oleh Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN Sungai Manik. Program bermula 8 Jun hingga 10 Jun (Isnin - Rabu) bertempat Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Pengisian program lebih banyak kepada ceramah teknik menjawab soalan UPSR. Semoga mereka akan mendapat banyak manfaat daripada program tersebut dan seterusnya dapat membantu meningkatkan lagi prestasi akademik masing-maising.

Kepada murid-murid SK Saint Anthony Cawangan Langkap, penuhilah masa cuti sekolah ini dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Siapkan semua kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru. Bantulah ibu dan bapa di rumah. Elakkan melakukan perkara yang membuang masa dan memberikan bahaya kepada diri.

Kepada para guru, selamat bercuti dan selamat balik kampung kepada yang kampungnya jauh. Antaranya Cikgu Syahrir akan balik ke Kedah, Ustaz Ahmad Sabri balik ke Kamunting, Puan Zurina mungkin balik ke kampung suaminya di Kedah, Ustazah Nor Hafazah pasti akan balik ke rumah keluarganya di Slim River, Cikgu Uma Mageswary balik ke Taiping dan sebagainya. Tidak lupa juga kepada Cikgu Uma Rani yang telah berangkat ke India bersama-sama suami.

Walaupun apapun, selamat bercuti. Namun begitu, kita percaya tugasan sekolah pasti akan dibawa bersama oleh para guru. Itulah GURU namanya.

Selasa, Mei 26, 2009

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN







Bermula 25 Mei ini, murid-murid SKSACL akan menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun bagi tahun 2009. Sesungguhnya peperiksaan ini amat penting terutamanya kepada para murid bagi menguji ilmu yang telah mereka dapat sejak awal tahun ini.



Bagi para guru, ia akan menjadi kayu ukur kepada keberkesanan P&P yang telah dijalankan oleh mereka. Segala penat lelah yang telah dicurahkan bagi tempoh separuh penggal ini akan terjelma apabila mereka menyemak dan memberikan skor/markah kepada anak-anak didik mereka.



Kepada pentadbir sekolah pula, apa sahaja keputusan yang diperoleh nanti akan menjadi indikator kepada pencapaian prestasi sekolah dalam bidang akademik. Keputusan yang diperoleh nanti juga akan menjadi batu asas kepada pihak sekolah untuk mengkaji, menilai serta merenung semula akan strategi yang telah diatur bagi meningkatkan kecemerlangan akademik sekolah khususnya UPSR.

Walau apapun, selamat maju jaya kepada semua anak didik SKSACL. Semoga kalian berjaya di dalam peperiksaan ini. Kalianlah harapan ibu, ayah dan guru.

Isnin, Mei 25, 2009

EMPAT ORANG MURID SK ST ANTHONY CAWANGAN LANGKAP MENYERTAI PROGRAM SMART SOLAT


Pada 23 Mei yang lalu, seramai empat orang murid SKSA cawangan Langkap telah mengikuti Kursus Smart Solat yang telah diadakan di Sekolah Dato' Laksamana Raja Mahkota, Teluk Intan.
Program bermula 8 pagi hingga 2 petang itu, lebih banyak memberi penekanan kepada aspek pembacaan dan perlakuan dalam solat. Akiviti kursus tersebut berbentuk explore race. Seramai 70 orang murid mewakili 14 buah sekolah di daerah Hilir Perak telah menyertai kursus tersebut.
Wakil sekolah ini ialah Mohammad Azim, Siratul Kafi, Mohd. Shah Nordin dan Mohd. Aiman. Mereka turut menerima cenderamata penyertaan. Guru pengiring ialah Ustaz Ahmad Sabri Ibrahim. Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Ustaz Salehuddin dari PPD Hilir Perak.
Semoga kursus sebegini akan memberi manfaat kepada murid dalam mengerjakan solat seharian.

LADAP 3 SK SAINT ANTHONY

Pada 23 Mei yang lalu bersama hari Sabtu, SK Saint Anthony telah mengadakan LADAP yang kedua. Kali ini, LADAP telah diadakan di SK Saint Anthony Teluk Intan.
Antara pengisian LADAP kali ke-3 ini ialah ceramah bertajuk Brain Gym berkenaan latihan menggunakan otak kiri dan kanan melalui geraka-gerakan fizikal. Ceramah telah disampaikan oleh Dr. Anuar, seorang pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia cawangan Ipoh.
Selepas itu, Guru Kaunseling sekolah, Puan Haliza telah menyampaikan ceramah tentang Pengurusan Disiplin. Kemudian, slot terakhir telah disampaikan oleh Guru Besar SK Saint Anthony, Encik Mohammad Nordin bin Mohammad Amin. beliau telah menyampaikan ceramah tentang Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Program telah tamat pada jam 3.00 petang.


Guru Besar, Encik Mohammad Nordin sedang menyampaikan slot ceramah ketiga.


Antara guru cawangan yang hadir, Cikgu Fatimah dan Uma Mageswary.


Dua orang guru lelaki ini sedang khusyuk mendengar ceramah LADAP.

Khamis, Mei 21, 2009

SAMBUTAN HARI GURU DI S.K. ST. ANTHONY CAWANGAN LANGKAP


Guru Kanan, Tuan Haji Jaafar Kassim sedang menyampaikan ucapan.

Pada 18 Mei 2009, SK St. Anthony Cawangan Langkap telah mengadakan sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah. Acara dimulai dengan perhimpunan rasmi di kantin sekolah. Antara atur cara majlis perhimpunan ialah pembacaan Perutusan Menteri Pelajaran Malaysia dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Seterusnya, seorang wakil murid telah menyampaikan ucapan. Kemudian, Guru Kanan Tuan Haji Jaafar Kassim telah menyampaikan ucapan.



Ustaz Shahabuddin sedang membaca perutusan Hari Guru.

Kemudian, para guru telah menyanyi lagu Guru Malaysia beramai-ramai. Ia diikuti acara pertukaran hadiah sesama guru serta penyampaian ucapan dan cenderamata sempena Hari Guru daripada murid-murid.

Acara diteruskan dengan permainan bola baling di mana setiap pasukan diwakili gabungan guru dan murid. Acara tersebut telah menarik perhatian ramai kerana pelbagai aksi dapat dilihat oleh para guru dan murid.


Cikgu Syahrir sedang bersiap sedia bermain bola baling.


Penggerak utama, Cikgu Mohd. Fadel.


Adik Siti dan Komala sedang membaca pantun sempena Hari Guru.


Para guru menyanyikan lagu Guru Malaysia.
Murid-murid terhibur melihat guru menyanyi Guru Malaysia.
Permainan bola baling sedang berlangsung.


Ustaz Shahabuddin menjadi pengadil bola baling.


Murid dan guru menyaksikan perlawanan bola baling.


Cikgu Moses menang acara teka buah.
Adik Thaneswary juga menang acara teka buah.

Ahad, Mei 17, 2009

KURSUS PEMUAFAKATAN IBU BAPA

Pada 25 April yang lepas, pihak sekolah telah menganjurkan Kursus Pemuafakatan Ibu Bapa dan Guru. Program tersebut telah diadakan di Dewan SK Saint Anthony Cawangan Langkap.

Antara objektif program ini ialah :
  1. Menjalinkan hubungan mesra antara para ibu bapa dan guru-guru sekolah ini.

  2. Memberikan motivasi kepada ibu bapa dan guru di dalam memainkan peranan mendidik anak di rumah.
Penceramah jemputan pada program ini ialah Encik Gulam Muzammil bin P.K. Mohamed, Penolong Pengarah (Sekolah Rendah) Jabatan Pelajaran Perak. Kehadiran ibu bapa pada kursus ini amat menggalakkan.


Bahagian pendaftaran, Pn. Hajah Fatimah dan Ustazah Nor Hafazah.


Para ibu bapa sedang mendaftar kehadiran.


Guru Besar SK Saint Anthony, En. Mohammad Nordin bin Mohammad Amin sedang menyampaikan ucapan.
Encik Gulam Muzammil sedang menyampaikan ceramah keibubapaan.

TAK KENAL MAKA TAK CINTA - LATAR BELAKANG SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Saint Anthony Teluk Intan adalah sebuah sekolah yang telah diasaskan oleh Rev. Father Binammy pada tahun 1932 dengan menumpang bangunan Sekolah Tamil St. Viannemy yang didirikan dalam kawasan Gereja Saint Anthony.

Setelah peringkat pertama bangunan SK St. Anthony siap pada penghujung tahun 1967, sebuah sekolah cawangan SRJK (1) St. Anthony telah diwujudkan pada tahun 1969 di pekan Langkap. Sekolah cawangan ini telah dibina oleh Rev. Father Ki-The Parish Priest of Saint Anthony Church Teluk Intan di atas lot tanah No. 4989 Langkap (salinan fotostat geran dilampirkan) dengan keluasan tapak 2 hektar. Sekolah cawangan ini terus beroperasi sehingga sekarang dengan dinamakan Sekolah Kebangsaan Saint Anthony Cawangan Langkap.

Dari sudut organisasi, pentadbiran sekolah ini adalah di bawah SK St. Teluk Intan. Ini bermakna, kesemua pentadbir sekolah iaitu Guru Besar dan Penolong-Penolong Kanan mentadbir dua sekolah yang jarak antaranya ialah 28.5 km. Walau bagaimanpun, pihak pentadbir telah melantik seorang Guru Kanan yang ditempatkan di sekolah cawangan bagi mewakili Guru Besar dalam menjalankan rurusan sekolah terutamanya pengajaran dan pembelajaran.

Guru Besar serta Penolong Kanan akan bergilir-gilir pada hari tertentu setiap minggu datang ke sekolah cawangan untuk mengajar beberapa subjek dan memantau.

Kini, SK St. Anthony Cawangan Langkap mempunyai 13 orang tenaga pengajar dan 2 orang pekerja am. Sekolah ini mempunyai 163 orang murid yang datang dari kawasan penempatan yang berhampiran seperti Kg. Alor Bakong, Kg. Orang Asli Palawan, sekitar pekan Langkap dan taman-taman perumahan.